Hari ini adalah antara yang amat bermakna dalam hidup. Titik tolak dalam memulakan satu perjalanan, penuh cabaran dan dugaan, disulami kerlipan indah bintang kebahagiaan. Menatap sms dari yang tersayang, dan fikiran rancak mencari jawapan yang sesuai…
Jari jemari bermain-main dipapan kekunci ini, mengetik abjad-abjad menggantikan tulisan tangan yang pernah mewarnai dunia percintaan kami dahulu. Selama 8 tahun, surat menjadi perhubungan utama. Tempat meluah rindu dendam, berkongsi suka duka, tinta keramat yang penuh dengan jiwa dan kasih sayang. Sungguh! memang aku sungguh rindu saat-saat itu.
Hari ini hari ke-21 pada bulan November dalam tahun masihi 2009. Bintang utara berkelip cerah di langit Kinshasa. Aku masih mengetik papan kekunci, mencari-cari ilham untuk si dia yang tersayang, pada tahun ke-10 ulangtahun perkahwinan ini.
Abang sayang
Kinshasa, DRC
20 November 2009
Assalamulaikum wbt,
Abang mulakan tinta ini dengan salam sayang penuh kerinduan dari kejauhan. Dengan harapan yang setinggi gunung agar sayang dan anak-anak sentiasa beroleh kerahmatan dan kesejahteraan dari-Nya. Abang mungkin sudah semakin kurang berbakat untuk mengarang kata-kata indah sepertimana yang pernah abang lakukan dahulu sewaktu zaman indah kita bercinta. Dengan sebaiknya, abang cuba untuk menyusun kata-kata untuk jadi tatapan sayang serta dapat menjadi pengubat rindu dihati.
Sayang,
Syukur, kerana kita telah menemui angka 10 di dalam usia perkahwinanan kita. Mungkin usia itu masih muda, tetapi pada kita tempoh itu cukup panjang dan bermakna dalam melalui berbagai kisah rumahtangga. Sayang mungkin lebih memahaminya. Tiada bumi yang tidak ditimpa hujan, tiada manusia yang tidak pernah tergigit lidahnya. Begitu juga kita dalam tempoh itu, segala rencam itu kita berjaya atasi tanpa ada sebarang konfrontasi. Mungkin itu berkat kasih sayang dan cinta yang utuh di dalam diri sayang. Dengan rasa cinta yang ikhlas itu juga, sayang berjaya mengikat hati abang, menguatkan jiwa abang dan memupuk rasa kasih sayang di dalam diri ini.
Mungkin saat-saat sebegini sayang masih ingat yang abang suka membisikkan kata cinta dalam nada lagu di telinga. Sesungguhnya kata cinta itu benar-benar datang dari dalam sanubari dan tidak hanya manis di bibir semata-mata.
Sayang yang abang kasihi,
Seperti baru benar rasanya saat abang melafazkan akad nikah dengan diperhatikan oleh ribuan pasangan mata. Mata dan telinga mereka juga melihat dan mendengar esak tangisan abang setelah selesai menyempurnakan akad tersebut. Banyak yang fikirkan saat itu, dan abang tahu itulah saat mula untuk abang memulakan perjalanan baru dalam hidup. Perjalanan dengan memikul galas tanggungjawab. Perjalanan untuk membuktikan bahawa kita tidak mensiakan-siakan kepercayaan dan harapan dari mak dan abah sayang. Perjalanan ini juga untuk membuktikan bahawa pilihan kita tidak salah dan menidakkan anggapan mulut-mulut mereka. Kita telah dapat membuktikan selama ini untuk menunjukkan betapa suci, tulus dan benarnya cinta kita. Abang tetap tidak melupakan janji abang pada sayang, bahawa sayanglah segala-galanya setelah abang tidak lagi punya kasih sayang dari mak dan abah.
Terima kasih kerana sayang sudi untuk mencintai dan menerima abang untuk bertapak di hati.
Sayang,
Sewaktu sayang bersetuju untuk menjadi suri hidup abang, abang tahu ia datang dengan harapan yang amat tinggi pada abang. Walaupun sebenarnya tidak mudah untuk menjadi seorang lelaki yang sempurna. Tapi dengan harapan itu, menjadi cabaran untuk abang cuba belajar melalui perjalanan masa. Seperti juga sayang yang menyerahkan pada masa apabila ditanya mengenai sesuatu andaian.
Sayang,
Kita selalu punya impian yang cinta kita semakin utuh, kuat, intim dan mekar bila kita semakin berusia. Moga impian kita itu menjadi kenyataan walaupun kita sedar bahawa untuk mengekal dan memelihara rumahtangga tidak semudah membinanya.
Memang abang akui bahawa sayang seorang isteri, ibu, penasihat dan pembimbing yang baik. Tiada galang gantinya jika sayang tiada disisi. Tidak terfikir bagaimana berkecamuknya hati ini jika abang bersua saat itu.
Terlalu banyak untuk abang luahkan pada sayang. Ingin kembali sama seperti dulu, kita mampu menghabiskan masa berjam-jam dan belasan helaian kertas demi untuk mencoretkan sesuatu pada yang tersayang. Himpunan surat-surat itu masih baik dalam simpanan kita, biar jadi saksi pada keturunan kita agar mereka tahu betapa kuatnya kasih sayang kita.
Sepanjang 10 tahun ini, ada masanya sikap dan perbuatan abang amat mengecewakan sayang. Jika ada perasaan itu di dalam hati sayang, abang memohon keampunan. Jika terguris dan luka biar tubuh ini menjadi ganti siksanyanya.
Tiada apa yang lebih baik dalam diri abang, selain dari melihat sayang tersenyum dan merasai bahagia. Sesungguhnya segala apa yang abang lakukan adalah untuk sayang. Semoga catatan ini mampu mengubat segala kerinduan sayang dan ia datang dari dalam hati yang tulus mencintai sayang selamanya.
Dan ada masanya diam berpandangan lebih baik dari berkata-kata.
Selamat Ulangtahun Perkahwinan ke 10
Salam sayang dari abang.
Aku tahu hati dia tulus mencintai, sebagaimana tulusnya dia mencatatkan luahan cintanya seperti yang pernah aku catatkan disini.
Aku menatap semula kiriman sms dari tersayang petang tadi,
“10 tahun lalu, malam ini rumah dipenuhi ramai orang. Pengantin perempuan bersiap untuk majlis berinai. Kedengaran bunyi kompang dan selawat. Bersanding seorang, debaran terasa menanti si dia untuk bersanding bersama pada hari esok. Hati tertanya apa si dia buat ketika ini…”
Received : 20 Nov 2009 - 15:03:09 Central African Time @ 20 Nov 2009 20:03:09 Malaysia
Dan biarkan jawapan itu ada pada hati aku dan dia….




















